Sunday 2 September 2012

ARTIKEL 3


Analisis artikel “Cabaran Profesion Keguruan”.
 OLEH : Noor Safini bt Zulkefli 

Artikel “Cabaran Profesion Keguruan” merupakan salah satu artikel yang di petik daripada majalah Dewan Masyarakat terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka keluaran Mei 2012. Saya telah memilih artikel ini kerana terdapat banyak isu yang boleh diulas dan dianalisis melalui artikel ini.  Secara keseluruhannya artikel ini membincangkan tentang cabaran-cabaran yang harus ditempuhi oleh seseorang individu apabila menceburi profesion keguruan. Sememangnya banyak cabaran samaada suka mahupun duka apabila kita memilih salah satu kerjaya profesional iaitu profesion sebagai seorang guru.

Menurut Kamus Dewan (2010) profesion didefinisikan sebagai satu bidang pekerjaan khasnya yang memerlukan pendidikan dan kecekapan serta kemahiran yang tinggi dan latihan yang khas. Selain itu, profesion juga merupakan satu bidang pekerjaan yang khusus dan dijalankan oleh orang yang mempunyai kelulusan dan latihan ikhtisas yang cukup bermutu, bersikap jujur, berdedikasi, berakauntibiliti dan bermoral tinggi, mempunyai autonomi tugas serta mematuhi kod etika yang ditentukan oleh organisasinya (Mook Soon Sang, 2009). Guru yang profesional haruslah mempunyai tiga ciri kemahiran profesional guru. Pertama memiliki sijil kelayakan kemahiran iktisas dan perlu mempunyai ilmu pengetahuan dan kemahiran yang tinggi dalam banyak aspek. Kemahiran-kemahiran ikhtisas ini boleh diperolehi dengan mengikuti kursus-kursus keguruan yang di tawarkan oleh pihak Kementerian Pendidikan contohnya Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP). Kedua, bertanggungjawab dan memberikan perkhidmatan yang bermutu tinggi. Tugas guru adalah memberikan perkhidmatan yang terbaik terhadap kliennya iaitu murid dan melaksanakan segala tanggungjawab dengan amanah dan jujur, dan yang ketiga terlatih dan mahir dalam tugas-tugas mengajar dan membimbing murid-murid. Inilah perkara yang paling penting apabila sudah bergelar seorang guru iaitu kemahiran pedagogi.  Menurut Mook Soon Sang (2010) pedagogi didefinisikan sebagai suatu seni pengajaran yang melibatkan penggunaan kaedah dan teknik mengajar. Guru mahir dalam dalam menguruskan bilik darjah, mahir dalam aspek pengajaran dan pembelajaran, pengurusan murid dan lain-lain lagi.

Selain itu, seorang guru yang profesional juga haruslah mempunyai sahsiah yang baik dan dapat di hormati. Sebagaimana yang kita sedia maklum guru merupakan role model terbaik buat murid. Segala tingkahlaku guru akan sentiasa menjadi perhatian murid apatan lagi penampilan luaran guru. Contohnya cara guru berpakaian, cara guru bercakap semuanya akan menjadi ikutan serta bahan percakapan murud. Maka seorang guru yang profesional haruslah mempunyai sahsiah yang terpuji agar murid akan lebih menghormati guru dan sekaligus memudahkan guru menyampaikan ilmu kepada murid-murid. Antara contoh tingkahlaku yang yang mulia ialah bersabar, adil, bertimbang rasa, menepati masa dan lain-lain lagi.  Di samping itu, semasa mengikuti kursus perguruan juga, guru-guru telah didedahkan dengan aspek pedagogi yang terbaik untuk memahami murid dan dikaitkan dengan teori pembelajaran yang telah dipelajari.

Berikutnya seorang guru yang profesional juga sentiasa berusaha mempertingkatkan profesionalisme perkhidmatan mereka.  Contohnya, sentiasa cuba menambah ilmu pengetahuan baru mengenai pendekatan,strategi, kaedah dan teknik pengajaran yang dapat diaplikasikan dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Pada masa yang sama seorang guru yang profesional juga perlu sentiasa kreatif dan inovatif dalam merancang strategi pengajaran dan pembelajaran yang akan digunakan. Tidak ketinggalan juga, seseorang guru itu juga perlu sentiasa cuba menghadirkan diri dalam kursus-kursus yang di anjurkan oleh pihak Kementerian Pendidikan. Kursus-kursus yang di jalankan bukannya sebagai satu bebanan buat guru tetapi merupakan salah satu indikator terbaik dalam usaha kerajaan memperkasakan pendidikan negara dari semasa ke semasa. Contoh kursus yang boleh di hadiri guru untuk mempertingkatkan profesion ini ialah Kursus Dalam Perkhidmatan (LDP). Kursus ini kini menjadi agenda wajib bagi guru-guru di sekolah bagi mempertingkatkan lagi kemahiran sedia ada guru-guru.

Profesion keguruan amat diharapkan dapat membuat anjakan paradigma kepada budaya yang berasaskan ilmu dan pemikiran demi meletakkan negara setanding dengan negara maju yang lain. Seorang guru yang profesional juga berupaya membuat keputusan dan menyelesaikan masalah. Profesion sebagai seorang guru ini bukan hanya memerlukan kita untuk mendidik anak-anak bangsa malahan kita sebenarnya perlu melaksanakan tugas sebagai pentadbir, pengurus, perancang, pelaksana, penilai, penyelia, pengawal dan sebagainya. Contohnya sekiranya kita di lantik sebagai Setiausaha Sukan Sekolah maka kita perlulah bijak membahagikan tugas serta menyelesaikan masalah yang timbul bagi memastikan tugas yang di pikul dapat dilaksanakan dengan baik di samping program yang di rancang berjalan dengan lancar.

Akibat daripada tuntutan globalisasi yang semakin mencabar membuatkan guru menjadi salah satu profesion yang amat perlu menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi. Contohnya guru perlulah menguasai kemahiran untuk menggunakan teknologi maklumat, bersikap produkti, proaktif dan responsif, mempunyai kemahiran dalam teknologi dan info komunikasi. Mantan Ketua Pengarah Pelajaran  Datuk Dr. Haji Ahamad Sipon, berkata dalam abad ke -21, bidang pendidikan menghadapi pelbagai cabaran akibat daripada kesan globalisasi dan liberalisasi. Contohnya cabaran teknologi masa kini yang yang memaksa para guru untuk menggunakan teknologi ini dengan sebaik mungkin. Oleh sebab kesan globalisasi ini jugalah menuntut guru yang berilmu agar celik dan mahir dalam penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi . Menurut Rizuan Kamis dalam artikel “Cabaran profesion Keguruan” ini menyatakan bahawa alaf  baharu beroreintasi  teknologi maklumat dan komunikasi ini  meminkan peranan yang begitu besar dalam pendidikan. Sebagai seorang guru yang baik kita haruslah sentiasa memandang ke hadapan  dan sentiasa mencuba mencari alternatif terbaik untuk menguasai teknologi-teknologi baru masa kini.

Selaras dengan perkembangan teknologi semasa, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah memperkenalkan  Teknologi Maklumat dan Komunikasi  atau Information and Communication Technology (ICT) dalam pendidikan sebagai satu daripada fokus utama dalam Pembangunan Pendidikan Zaman Dasar Wawasan Negara 2001-2010. Menurut Azhar Haji Wahid (2009), Dalam ucapan pembentangan Rancangan Malaysia Ke-9, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyatakan ICT dalam pendidikan akan di beri tumpuan khusus dalam aspek prasarana, pengisian dan latihan guru sebagaimana yang termaktub dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan.

Dalam menerjah arus globalisasi masa kini, sistem pendidikan negara juga telah mengalami perubahan. Pelbagai pendekatan telah digunakan untuk meningkatkan lagi prestasi dan mutu pendidikan negara kita dan salah satu pendekatan atau program yang telah di jalankan adalah intergrasi ICT dalam pendidikan.  Secara umumnya intergrasi bermaksud penyatuan beberapa bahagian yang berlainan untuk membentuk perkara baru. Maka intergrasi dalam pendidikan dapat didefinisikan sebagai penggunaan alat-alat komputer bagi tujuan pengajaran. Pengintergasian itu melibatkan penggunaan alat-alat komputer seperti komputer meja, komputer riba, telefon tangan  serta internet untuk meningkatkan pembelajaran pelajar. Pengintegrasian teknologi ini bertujuan membantu guru-guru mencapai objektif pengajaran dengan jayanya.

Selain itu, untuk melahirkan masyarakat bermaklumat melalui IT, KPM dan Agensi Bukan Kerajaan seperti Malaysian Institute of Microelectronics atau ringkasnya Mimos dan Telekom Malaysia telah merancang dan melaksanakan beberapa projek untuk menggalakan penggunaan komputer dalam pendidikan. Lima projek tersebut ialah Projek Rintis Pembelajaran Berbantu Komputer (PPBK) ke atas 12 sekolah di Selangor; Projek Pusat Ilmu ;Projek Jaringan Pendidikan;Projek Rangkaian Munsyi dan Projek Sekolah Bestari. Antara cadangan yang boleh cuba diambil oleh para guru untuk memperlengkapkan diri dengan ilmu Teknologi Maklumat dan Komunikasi ini ialah melakukan satu anjakan paradigma. Para guru seharusnya bersedia melakukan perubahan dalam kepercayaan dan kaedah pengajaran untuk melaksanakan inovasi agar proses pengajaran dan pembelajaran lebih menyeronokan dan bermakna. Selain itu, seseorang guru itu perlu mempunyai tanggungjawab dan tugas untuk mengintegrasikan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran. proses pengintegrasian teknologi dan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran adalah satu proses yang berterusan dan sememangnya memerlukan komitmen yang tinggi dari guru itu sendiri.

Guru seharusnya bijak mendidik generasi muda dalam penggunaan internet  secara berkesan untuk pendidikan bukannya perkara yang sebaliknya. Sepanjang mengajar menggunakan peralatan ICT, guru haruslah bijak memberikan pendedahan kepada murid akan cara menggunakan internet, telefon mudah alih, i-pad dan segala alatan teknologi terkini dengan betul. Guru harus lebih tegas menekankan kepentingan menggunakan alatan ICT namun haruslah di gunakan dengan cara yang sewajarnya bukannya menyalahgunakan kemudahan yang di berikan samaada di sekolah mahupun di rumah. Selain itu, sebagai guru yang baik kita mestilah memastikan murid-murid kita tidak terdedah dengan pengaruh negatif penggunaan internet. Sebagai guru kita seharusnya mengingatkan murid supaya tidak mudah terpengaruh dengan elemen-elemen negatif yang sememangnya mudah di temui di dalam intenet. Tanamkan dalam diri murid matlamat utama menggunakan ICT adalah untuk memudahkan pembelajaran dan menjadikan pembelajaran adalah lebih berkesan bukannya untuk mempelajari perkara-perkara yang tidak berfaedah. 




 Dunia kini terlalu maju sekiranya guru gagal menggunakan segala teknologi yang sedia ada kini pastinya guru akan menghadapi banyak kesukaran dalam menyampaikan pengajaran dan pembelajaran. Penerapan nilai-nilai murni dalam diri kalangan murid juga merupakan salah satu agenda penting dalam dunia pendidikan. Dapat dilihat kini penerapan nilai- nilai murni semakin luput dan tidak diendahkan oleh segolongan muda mudi zaman sekarang. Namun itu, sebelum guru bertindak sebagai penerap nilai-nilai murni guru haruslah mempersiapkan diri dengan 16 nilai murni  yang terdapat dalam kurikulum pendidikan. Maka di sinilah terletaknya peranan guru untuk menerapkan nilai-nilai murni terutamanya melalui matapelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan  supaya anak-anak didik kita nanti akan mempunyai sahsiah yang terpuji dan sekaligus dapat menyumbangkan sesuatu buat negara dan bukannya menjadi sampah masyarakat yang hanya akan menyusahkan negara di kemudian hari.

Arena perguruan kini juga semakin mencabar dengan pelbagai perlaksanaan program-program yang merujuk kepada transformasi pendidikan agar seiring dengan arus permodenan kini. Demi hari ke hari semakin berat tugas yang harus dipikul dan di galas seorang guru demi memastikan wawasam negara untuk melahirkan masyarakat bermaklumat menjelang Wawasan 2020 tercapai. Sesungguhnya seorang guru itu mestilah sentiasa bersedia daripada segi mental mahupun fizikal bagi menempuh segala cabaran yang datang terutamanya dalam zaman serba moden kini yang memerlukan sepenuhnya komitmen guru untuk menjayakan sesuatu program yang di rancangkan. Seorang guru juga harus bersedia menerima segala perubahan yang bakal berlaku dalam sistem pentadbiran serta sistem pendidikan negara samaada perubahan tersebut positif mahupun negatif.

  Kerjaya seorang guru amat di pandang tinggi oleh masyarakat kerana gurulah seorang pemimipin berjaya di lahirkan, seorang doktor berjaya merawat pesakitnya, semuanya kerana jasa guru yang mendidik. Begitulah betapa besarnya jasa seorang guru kepada masyarakat bangsa dan negara. Ulasan yang dapat saya berikan berdasarkan artikel ini ialah profesion keguruan ini merupakan satu profesion yang mencabar adalah kerana tanggungjawab yang di galas oleh seorang guru. Pertama seorang guru bertanggungjawab kepada anak-anak didiknya dan pada masa yang sama guru juga bertanggungjawab terhadap agama, bangsa dan negara. Selain itu juga, seorang guru juga bertanggungjawab melaksanakan dasar-dasar pendidikan negara contohnya Dasar Pendidikan Negara, Falsafah Pendidikan Negara, dan juga Falsafah Pendidikan Guru. Seterusnya seorang guru juga bertanggungjawab merealisasikan aspirasi negara terutamanya berkaitan dengan perpaduan kaum. Berdasarkan isu perpaduan kaum ini seorang guru perlulah membuktikan bahawa mereka mampu mewujudkan integrasi nasional dan memastikan keamanan dan kesejahteraan negara terjamin. Seterusnya guru juga bertindak sebagai ejen keberkesanan pendidikan. Seorang guru mestilah bersikap bertanggungjawab, berkelengkapan, keilmuan, keluhuran peribadi  demi menetukan kejayaan dan keberhasilan sebagai seorang guru. Inilah salah satu cabaran apabila bergelar seorang guru.

Dalam artikel ini juga menyatakan profesion keguruan juga tidak lari daripada berdepan dengan cabaran yang paling besar masa kini iaitu perkembangan sains dan  teknologi. Bidang Sains dan Teknologi yang begitu pesat membangun sehingga memberi  impak yang banyak terhadap institusi pendidikan negara kita khususnya. Dalam artikel ini juga menyatakan bahawa dunia pendidikan telah berubah kepada penekanan terhadap penggunaan teknologi maklumat yang selaras dengan Falsafah Pendikan Negara dan sekaligus menjadikan pengurusan di sekolah menjadi semakin kompleks. Contohnya perlaksanaan program pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) .

David Ryans dalam bukunya Characteristics of Teachers berpendapat seorang guru yang berkesan dalam menangani  cabaran adalah guru yang bersifat adil, demokratik, responsif, bertimbang rasa, baik hati, jujur, cergas, menarik, bertanggungjawab, stabil, tenang dan berkeyakinan. Saya amat bersetuju dengan pendapat ini kerana semua ciri-ciri yang perlu ada pada seorang guru yang cemerlang ada di sebutkan. Kesemua ciri-ciri seharusnya di tanam dalam diri dan jiwa seorang pendidik barulah mereka dapat menikmati keseronokan dan kenikmatan menjadi seorang guru. Kita seharusnya bersyukur dapat bergelar sebagai pendidik. Segala ilmu yang kita sampaikan akan digunakan oleh orang lain dan sehingga kita sudah tiada sekalipun dalam dunia ini lagi, kita tetap akan di panggil cikgu. Situasi ini tidak akan dapat di beli dengan wang ringgit hanya seorang guru yang memahami mereka mengapa mereka memilih kerjaya sebagai seorang guru.

Dalam artikel ‘ Cabaran Profesion Keguruan’ ini juga memberikan definisi seorang guru dalam konteks pendidikan ialah sebagai seseorang yang berperanan sebagai agen penyalur budaya dan ilmu. Contoh guru sebagai agen penyalur budaya ialah menerapkan nilai-nilai murni dalam diri murid  supaya sentiasa mengikut budaya dan adat resam supaya mereka tidak lari norma-norma masyarakat. Manakala contoh guru sebagai penyalur ilmu pula ialah guru memberikan semua bentuk ilmu samaada ilmu sains, matematik, bahasa, geografi, sejarah, teknologi dan lain-lain lagi yang dapat di gunakan oleh murid untuk membina kehidupan yang lebih baik di masa hadapan. Selain itu, guru juga berperanan sebagai ibu bapa kedua kepada murid-murid atau dalam kata lainnya berperanan sebagai institusi kedua selepas keluarga dan guru juga merupakan agen perwarisan budaya yang penting dalam pembentukan masyarakat. Dapat dilihat disini, betapa berpengaruhnya seorang guru di mata masyarakat umumnya. Murid-murid menghabiskan lebih daripada masa seharian di sekolah, maka masa mereka banyak bersama guru daripada ibu bapa. Justeru itu, guru memainkan peranan penting dalam pembentukan tingkahlaku dan sahsiah  murid-murid. Walaupun demikian, ibu bapa juga tidak seharusnya menambahkan beban kerja guru dengan menyerahkan urusan 100% mendidik anak-anak mereka kepada guru. Ibu bapa juga berperanan menjadi role model dan mendidik anak-anak terutamanya ilmu keagamaan supaya mereka tidak mudah terjebak dengan anasir-anasir negatif yang semakin berleluasa kini.

Berdasarkan artikel ini juga dapat dianalisis bahawa proses pembelajaran mungkin berlaku secara spontan dan tidak di rancang ,pada masa yang sama personaliti guru boleh berubah secara tiba-tiba di sebabkan oleh masalah mahupun tekanan yang di hadapi. Maka seorang guru perlulah menghadapi segala situasi ini dengan profesional dan sedar akan hakikat bahawa guru adalah pembimbing  dan pendidik masyarakat berbudaya dan sentiasa mampu menangani segala cabaran yang datang dengan baik sekali. Seterusnya guru juga memegang tanggungjawab mendidik dan menyampaikan ilmu pengetahuan kepada murid samaada di dalam bilik darjah mahupun di luar bilik darjah. Tugas hakiki seorang guru adalah melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran yang terbaik buat murid-murid. Maka masalah yang di hadapi guru haruslah di tangani dengan baik agar tidak menjejaskan aktiviti pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

Artikel ini juga menyatakan bahawa ada persepsi sesetengah pihak menyatakan tugas atau profesion keguruan sebagai mudah dan tidak memeningkan kepala namun menjanjikan pendapatan yang lumayan. Saya sememangnya tidak bersetuju dengan pendapat ini, kerana meraka hanya nampak tugas seorang guru pada bahagian luaran iaitu hanya mengajar di dalam kelas. Mereka tidak akan memahami pepayahan serta kesulitan yang di alami guru seperti memastikan gred serta peratusan peperiksaan sentiasa meningkat, melaksanakan semua program yang telah di tetapkan oleh kementerian contohnya yang terbaru Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan sebelum ini Program Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Bebanan tanggungjawab yang di pikul oleh seorang guru tidak sama sekali dapat di fahami oleh seseorang yang tidak bergelar seorang guru, nampak pada luarannya kerjaya yang mudah namun sekiranya diselisuri rentetan dan perjalanan hidup seorang guru bukannya semuanya indah. Namun di sebalik bebanan tugas yang semakin mencabar dari semasa ke semasa, guru tetap bersemangat mendidik anak bangsa kita untuk terus berjaya bak kata pepatah guru bagaikan lilin sanggup membakar diri demi menerangi orang lain. Segala kepayahan dan keletihan yang di rasai bagaikan hilang di bawa angin apabila melihat anak-anak didiknya berjaya dalam hidup mereka. Begitu murni hati seorang guru dan tiada pada profesion-profesion lain dalam dunia ini yang dapat menyaingi profesion keguruan.

Selain itu, masyarakat umum perlu tahu bahawa apabila bergelar seorang guru sememangnya banyak cabaran yang perlu di tempuh dan memerlukan persediaan yang secukupnya dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Profesion ini berhadapan dengan cabaran di sekolah amnya dan cabaran dalam pengajaran khususnya. Antara contoh cabaran di sekolah ialah memegang pelbagai jawatan penting di sekolah yang memerlukan komitmen yang tinggi dalam melaksanakan tugas yang telah di amanahkan. Contoh satu situasi ini seorang guru yang baru di postingkan terpaksa memgang pelbagai jawatan penting di sekolah seperti Setiausaha Sukan, Ketua Panitia Bahasa Melayu, Guru Kelas KSSR dan lain-lain lagi, inilah cabaran yang harus ditempuh dan di galas oleh seorang guru.

Manakala cabaran dalam pengajaran pula adalah seperti menyediakan alat serta bahan bantu mengajar yang menarik dan kreatif yang dapat memudahkan proses penyampaian ilmu pengetahuan kepada murid-murid. Selain itu, cabaran guru dalam pengajaran adalah untuk menyesuaikan aktiviti mengikut tahap serta kebolehan  murid. Tidak semua murid mempunyai tahap yang sama, maka ini merupakan cabaran bagi seorang guru untuk melaksanakan pengajaran  yang berkesan kepada murid. Contohnya murid yang bijak  perlulah diberikan banyak latihan yang lebih mencabar daripada apa yang telah di berikan sebelumnya manakala murid yang lemah perlulah di beri latihan yang lebih mudah tetapi mestlah dalam keadaan yang berterusan. Seterusnya cabaran dalam pengajaran juga adalah menerapkan nilai-nilai murni dalam diri murid sewaktu pengajaran. Guru perlu lebih peka dalam isu-isu semasa supaya murid sentiasa mendapat pendedahan tentang perkembangan semasa.

Kesimpulannya, apabila kita menjejakkan kaki ke arena perguruan ini, kita seharusnya mempersiapkan diri dengan segala aspek bermula dari ilmu pengetahuan, ilmu pedagogi, ketrampilan guru, kemahiran interpersonal guru, kemahiran teknologi dan lain –lain lagi. Selain itu, guru-guru mestilah mempunyai persediaan mental dan fizikal yang kukuh untuk menempuh segala cabaran dalam dunia pendidikan. Setiap profesion yang kita ceburi pasti ada kebaikan serta kelemahannya yang tersendiri. Maka selalulah berfikiran rasional agar kita akan berasa lebih selesa dan yakin dengan kerjaya yang kita ceburi. Pedulikan kata-kata orang yang mengatakan tugas sebagai guru bagai melepas batuk di tangga, segala imbuhan serta gaji yang di terima tidak setimpal dengan hasil yang di perolehi. Mereka hanya tahu bercakap, tetapi mereka di luar sana tidak tahu dan tidak dapat merasai betapa besarnya pengorbanan seorang insan yang bergelar guru sanggup membakar diri demi menerangi hidup orang lain. Selain itu, demi menjamin profesion ini terus dipandang tinggi oleh masyarakat kita mestilah sentiasa berusaha mempertingkatkan ilmu serta kemahiran dalam diri. Apabila sudah bertugas kelak tidak semestinya misi pencarian ilmu dan kemahiran terhenti di sini. Setiap hari kita sentiasa belajar dan belajar bak kata pepatah menuntut ilmu biarlah sampai ke negeri China. Ilmu itu penyuluh hidup, guru yang berpengetahuan di samping mempunyai keperibadian yang tinggi pastinya akan sentiasa  dikenang dan di sanjungi pelajarnya.

Refleksi

Alhamdulillah bersyukur ke hadrat ilahi akhirnya tugasan Asas Kepimpinan dan Perkembangan Profesionalisme ini berjaya juga di siapkan mengikut masa yang telah di tetapkan. Sememangnya di akui terdapat banyak pengalaman yang berharga, pahit dan manis yang saya perolehi sepanjang menyiapkan tugasan ini.pada peringkat permulaan saya merasakan agar sukar untuk saya membahagikan masa kerana terlalu banyak tugasan yang di terima dalam satu masa. Namun,  di sini saya belajar bahawa kita mestilah bijak membahagikan masa dan janganlah mudah berputus asa dengan apa yang kita lakukan kerana pasti di akhirnya kita akan peroleh apa yang kita hajati.

Seterusnya, bagi tugasan kali ini saya telah memilih artikel bertajuk “Cabaran Profesion Keguruan”.. saya telah mempelajari satu pengalaman baru iaitu mengulas dan menganalisi artikel yang telah saya pilih. Saya dapat belajar dalam proses mengulas dan menganalisi artikel, saya perlu banyak berfikir secara lebih kritis dan kreatif barulah ulasan yang disamapikan akan dapat di fahami oleh orang yang membacanya. Selain itu, setelah mengulas dan menganalisis artikel ini saya mulai sedar akan cabaran yang harus di tempuhi apabila saya bergelak seorang pendidik kelak. Sememangnya tugasan ini membuka mata saya tentang persediaan yang perlu saya buat untuk bergelar seorang pendidik yang profesional,contohnya ciri-ciri yang perlu ada bagi seorang guru yang profesional perlulah di terapkan dalam diri saya. Sepanjang menyiapkan tugasan ini saya sering kali melakukan muhasabah diri samaada saya sudah cukup bersedia untuk memasuki profesion keguruan ini. namun stelah mengkaji dengan lebih terperinci serta berdasarkan pada segala ilmu serta kemahiran yang telah saya pelajari sepanjang mengikuti pengajian di Institut Perguruan, saya bertambah yakin untuk bergelar seorang guru mulai tahun hadapan. Selain itu, saya juga akan selalu berusaha mempertingkatkan ilmu serta kemahiran dalam diri saya supaya mampu menjadi guru yang terbaik buat anak-anak didik saya. Berikutnya saya juga mulai sedar bukannya mudah bergelar seorang guru sememangnya banyak tanggungjawab yang terpaksa di galas demi merealisasikan hasrat negara. Saya akan sentiasa berusaha menggalas segala tanggungjawab dan amanah yang diberikan sebaik yang mungkin dan menjadikan profesion ini sentiasa di pandang tinggi dan dihormati.

Seterusnya, saya juga bersyukur maklumat berkaitan isu ini agak mudah untuk di cari, di mana saya telah mencari bahan bacaan seperti buku dan jurnal di beberapa perpustakaan, bahan daripada internet dan lain-lain lagi. Perkara ini membuatkan saya memjadi lebih matang dalam memilih bahan yang bersesuaian dengan tugasan terutamanya dari aspek bibliografi atau bahan rujukan untuk mengukuhkan lagi tugasan yang telah saya buat. Ilmu ini sememangnya akan dapat di gunakan lagi apabila saya menjalankan kajian di peringkat yang lebih tinggi di masa hadapan.

                                                                             Di sediakan oleh,
                                                                            (NOOR SAFINI BINTI ZULKEFLI)
                                                                             (8 PISMP KS/PJ/PM 2)
                                                                                      
 Bibliografi
a)    Buku

Kamus Dewan (2005). Edisi ke-4. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
Idris, N. (2009). Pengajaran dan Pemebelajaran Teori dan Praktis. Kuala Lumpur:
         Mc Gaw Hill.
Marzuki, S. C. (1999). Isu Pendidikan di Malaysia. Selangor:
        Utusan Publication& Distributors Sdn. Bhd.
Mustafa, S. I. (2010). Guru dan Cabaran Semasa. Selangor:
        Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.
Rashid, N. A. (2010). Guru dan Cabaran Semasa. Selangor:
        Oxford Fajar Sdn. Bhd.
Sang,S.M. (2009). Murid dan Alam Belajar. Selangor: Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.
Wahid, A. H. (2009). Pendidikan Pembangunan Modal Insan. Tanjong Malim:
        Universiti Pendidikan Sultan Idris.

b) Jurnal
Salleh, N. I. (2009). Pengintergrasian ICT dalam Pengajaran dan Pembelajaran:Isu dan Cabaran. Pengajaran dan Pembelajaran Teori Pembelajaran , 1-5.

Internet
Rizuan Kamis (2012). Cabaran Profesion Keguruan
http://eprints.ums.edu.my/86/1/CONF2010003.pdf.      Diakses pada 12 Ogos 2012
http://www.utusan.com.my/utusan/info. Diakses pada 12 Ogos 2012


Artikel 2


1.0 PENGENALAN

Profesion perguruan merupakan suatu pekerjaan yang penting dalam proses pembangunan manusia, masyarakat dan negara. Ia merupakan perantara yang paling utama dalam proses penyerapan ilmu pengetahuan kepada individu dan masyarakat. Dalam era globalisasi kini, dapat kita lihat peranan guru semakin mencabar dan menjadi kompleks. Kecemerlangan seorang guru tidak terbatas pada kebolehannya melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) dengan baik, tetapi turut bergantung pada kualiti peribadinya yang tinggi kerana guru diharapkan untuk menunjukkan contoh teladan yang baik kepada pelajarnya kerana inilah yang akan menjadi pemangkin kecemerlangan sesebuah sekolah. Kualiti diri yang dimaksudkan di sini ialah sahsiah, tingkah laku, keterampilan diri, berkewibaan dan sebagainya.

      Guru juga perlu mempunyai ciri-ciri interpersonal yang baik. Ciri-ciri interpersonal tersebut merangkumi kemahiran berhubung, berkomunikasi, menangani masalah, menyesuaikan diri dan sebagainya. Guru seharusnya mengelakkan komunikasi sehala sehinggakan murid berasa bosan terhadap pengajarannya. Guru juga tidak boleh mementingkan dirinya sendiri sehingga hanya mengutamakan pendapatnya sahaja tanpa mengambil kira pendapat pelajar-pelajarnya. Seorang guru yang baik akan cuba mewujudkan komunikasi dua hala dengan pelajarnya sama ada meminta pendapat atau bertanyakan soalan kepada mereka.

Ciri profesionalisme keguruan merangkumi kemahiran mengajar, kecekapan dan kewibaan guru, pengetahuan dan kepimpinannya sendiri. Di samping itu juga, guru juga perlu mempunyai ciri intelektual. Ciri ini penting bagi memastikan guru dapat menyampaikan pengetahuan yang bermakna kepada pelajar-pelajarnya. Bagi mewujudkan ciri seperti ini dalam diri seorang guru, guru seharusnya perlu menambahkan ilmu pengetahuan dengan cara menambahkan pembacaan bahan berilmiah. Dengan adanya kesemua aspek ini dalam diri guru, maka secara tidak langsung guru akan lebih bersedia untuk menghadapi cabaran dalam profesionalisme keguruan ini (Noran Fauziah & Mahdzan, 1992). 

  
2.0 ULASAN BERKAITAN ARTIKEL

Menerusi artikel ‘Patut Atau Tidak Pelajar Sekolah Dirotan?’ yang dipetik dari laman web rasmi Utusan Malaysia, dapat disimpulkan bahawa dewasa ini isu merotan pelajar sering mendapat perhatian dan menjadi topik perbincangan hangat dalam kelompok masyarakat khususnya guru. Selain itu, ia turut mendapat liputan meluas dalam akhbar dan juga media massa. Terdapat segelintir pihak yang menyokong dan ada juga yang menentang atas pelbagai sebab yang munasabah. Pelaksanaan hukuman rotan ini tidak seharusnya dipandang negatif kerana ia pastinya mempunyai kebaikannya yang tersendiri. Sekiranya pelaksanaan hukuman rotan ini dilihat dapat mengekang masalah salah laku pelajar di sekolah, maka ia merupakan satu usaha yang murni dan sepatutnya dipandang tinggi oleh masyarakat.

Walau bagaimanapun, pelaksanaan hukuman rotan itu sendiri perlulah kena pada tempatnya. Guru tidak boleh menyalahgunakan kuasa merotan yang diberi kepada mereka. Hukuman rotan yang dilaksanakan ini perlulah berdasarkan sebab atau alasan yang munasabah serta dianggap relevan. Syarat-syarat semasa melaksanakan hukuman ini juga perlu dipatuhi. Misalnya, guru hanya boleh memukul murid di tempat yang tidak akan mendatangkan kemudaratan serta melaksanakan hukuman rotan di tempat yang tertutup serta memaklumkan ibu bapa tentang hukuman rotan tersebut.

Perkara yang mendatangkan masalah apabila hukuman rotan ini dilaksanakn ialah apabila guru perlu berhati-hati ketika merotan pelajar kerana dikhuatiri sekiranya terdapat kecederaan yang serius pada pelajar ia akan menyebabkan ibu bapa membuat aduan polis dan mendakwa guru terbabit. Oleh itu, walaupun niat guru merotan pelajar hanyalah untuk mendidik pelajar, tetapi ia boleh mendatangkan akibat buruk sekiranya dilakukan secara berlebihan. Kesimpulannya, semua pihak harus mengkaji isu ini secara lebih mendalam lagi supaya apa jua keputusan yang diambil lebih banyak mendatangkan kebaikan berbanding keburukan.


3.0 ANALISIS ISU

Masalah disiplin pelajar menjadi isu hangat yang diperkatakan pada masa kini. Masyarakat melahirkan rasa bimbang tentang kemungkinan masalah ini akan menjadi bertambah serius sekiranya tiada tindakan tegas diambil oleh pihak yang bertanggungjawab bagi membendungnya. Antara masalah tersebut termasuklah ponteng sekolah, mencuri, bergaduh, membuli, melawan guru, memukul guru dan bermacam-macam lagi. Pelbagai cadangan telah dikemukakan sebagai langkah untuk menangani permasalahan ini. Ada yang berpendapat bahawa hukuman rotan wajar diperkenalkan semula setelah dihentikan pada tahun 2006 yang lalu atas alasan dianggap tidak berkesan untuk memperbaiki disiplin pelajar. Walau bagaimanapun, pelaksanaan hukuman rotan ini mempunyai kekuatan dan kelemahannya yang tersendiri.


3.1 Kekuatan Isu

Sesetengah pihak menyokong pelaksanaan hukuman rotan ini memandangkan guru memainkan peranan yang begitu besar dalam membantu menangani masalah salah laku pelajar. Salah laku ialah segala perbuatan yang membawa kerosakan kepada diri sendiri, orang lain mahupun alam sekitar (Ibrahim, 2007). Punca salah laku disiplin sekolah menunjukkan bahawa kekurangan kemahiran sosial, keyakinan diri yang rendah, pengaruh rakan sebaya perpecahan keluarga dan kelemahan pengurusan bilik darjah di samping sikap guru yang negatif (Laporan Salah Laku Disiplin Pelajar Sekolah Malaysia, 1988;KPM, 1995;Shanmugam, 1997;Mo, 2001) menyumbang kepada salah laku disiplin dalam kalangan pelajar (James, 2005). Ponteng sekolah merupakan salah satu jenis salah laku dalam kalangan pelajar yang perlu diberi perhatian oleh pihak berwajib di sekolah. kerana ia merupakan salah laku yang sering dilakukan oleh pelajar (Md.Zuki, 2007).


Salah laku dalam kalangan pelajar pada masa kini kian berleluasa dan membarah. Dengan pelaksanaan hukuman rotan ini, maka secara tidak langsung salah laku dalam kalangan pelajar ini dapat dibendung sekaligus mengelakkan ia daripada terus menular dan merebak dalam sesebuah komuniti pelajar. Sekiranya masalah disiplin seperti ini tidak dibendung sejak dari awal lagi, perkara yang amat dibimbangi ialah pelajar akan menjadi semakin liar dan agresif serta tidak terkawal sehinggakan menimbulkan masalah yang lebih besar yang akhirnya akan menjerumuskan mereka ke kancah yang lebih teruk iaitu gejala sosial (James, 2011).

Gejala sosial merupakan gejala yang menyebabkan berlakunya ketidaktentuan sistem kemajuan dan ketamadunan sesebuah negara serta meruntuhkan akhlak manusia.   Di Malaysia, terdapat banyak gejala sosial yang dapat kita kenal pasti. Antaranya termasuklah pembuangan bayi, seks bebas, meminum arak, merempit dan lain-lain. Gejala-gejala seperti ini bermula dengan kebiasaan pelajar di sekolah, yang terbabit dalam salah laku ponteng, membuli, mencuri, vandalisme dan lain-lain lagi. Dengan adanya hukuman rotan inilah guru dapat mendidik dan mencegah masalah salah laku pelajar ini (Khairul Anuar, 2010).

Selain itu, pelajar-pelajar juga akan berfikir dua kali sebelum melakukan sebarang salah laku disiplin. Dahulu, hukuman rotan yang dijatuhkan kepada pelajar-pelajar menjadi satu perkara biasa dan mendapat sokongan daripada ibu bapa. Pelajar juga akan sedar dengan sendirinya akan kesalahan mereka dan tidak berani untuk mengadu kepada ibu bapa kerana bimbang akan dipukul dengan lebih teruk lagi dengan ibu bapa sendiri. Oleh yang demikian, sekiranya hukuman rotan ini dilaksanakan semula, ini bermakna semua guru dapat membimbing, menasihati dan menunjuk ajar pelajar-pelajarnya. Memang sakit apabila dirotan, namun kesakitan itulah yang akan membangkitkan semangat pelajar sehingga menjadikan mereka manusia yang berguna, memegang jawatan yang tinggi dan disegani oleh masyarakat suatu hari kelak.


3.2 Kelemahan Isu 

Terdapat sesetengah pihak yang menentang pelaksanaan hukuman rotan ini. Terdapat pihak yang mendakwa bahawa hukuman rotan ini tidak akan mampu mendisiplinkan pelajar. Bagi mereka, hukuman rotan ini hanya akan mendatangkan lebih banyak keburukan berbanding kebaikan. Contohnya, menerusi hukuman rotan pelajar akan berasa tertekan kerana berasa malu kepada rakan. Hal ini akan menyebabkan mereka menjadi pasif. Dari sudut yang lain, hubungan pelajar dengan guru juga akan menjadi kurang baik dan keruh.

Zulaiha (2001) dalam kajiannya mengatakan bahawa pendidikan yang berdasarkan hukuman hanya membantu seorang pelajar itu belajar tentang apa yang telah dilakukannya dan sama sekali tidak membantunya untuk belajar tentang apa yang seharusnya dia lakukan. Beliau juga mendapati bahawa aspek kemesraan guru membantu dalam pembentukan disiplin dalam kalangan pelajar dan pelajar akan lebih berminat dengan guru yang lebih memahami dan mengenali mereka. Pentingnya pencegahan salah laku sebelum penguatkuasaan peraturan khusunya hukuman seperti merotan yang dianggap kurang berkesan. Selain itu, pelajar juga akan berasa benci dan tidak suka untuk pergi ke sekolah. Atas sebab inilah yang akan menyebabkan mereka cuba untuk ponteng kelas dan ponteng sekolah. Ini juga akan mendorong mereka untuk mencari keseronokan serta hiburan di luar dengan bercampur dengan rakan-rakan yang tidak senonoh seterusnya terbabit dengan gejala-gejala yang tidak bermoral (James, 2005).

Sikap ibu bapa dan pelajar masa kini jauh berbeza dengan masa dahulu. Jika dahulu, ibu bapa menghantar anak-anak ke sekolah dan berpesan supaya guru merotan anaknya sekiranya melakukan kesalahan serta tidak mencederakan anaknya. Namun, berbeza pula halnya dengan keadaan pada hari ini, ibu bapa sendiri campur tangan dalam urusan guru. Ada juga antaranya yang sanggup menyaman guru dan mengheret guru ke mahkamah. Sikap ibu bapa seperti inilah yang akan menyebabkan pelajar-pelajar hanyut lebih jauh dengan kegiatan-kegiatan tidak bermoral mereka itu.


4.0 PANDANGAN PENULIS BERKENAAN ISU

Hari ini suasana di sekolah amat berbeza berbanding dahulu, hukuman rotan adalah perkara biasa. Misalnya, hukuman rotan yang dilaksanakan ketika perhimpunan akan menjadi pengalaman yang menginsafkan bagi pelajar. Hukuman yang dikenakan seperti ini dikatakan mampu memberi pengajaran kepada pelajar-pelajar dan menggalakkan mereka untuk mengubah sikap atau tingkah laku mereka. Walau bagaimanapun, terdapat juga ibu bapa yang tidak bersetuju dengan pelaksanaan hukuman rotan ini. Malah ada yang sanggup menyaman guru kerana menghukum anak mereka. Perkara sebegini tidak seharusnya berlaku kerana sekiranya hukuman tersebut mampu untuk menyedarkan pelajar, mengapa mereka langsung tidak boleh disentuh oleh guru? (Lily & Ramlan, 2007).

Hukuman merotan pelajar sebenarnya merupakan salah satu langkah penyelesaian dalam menangani masalah salah laku pelajar di sekolah. Benarkah begitu atau masih terdapat alternatif-alternatif lain sebelum mengambil langkah terakhir iaitu merotan ini? Mencari alternatif lain  untuk menangani gejala disiplin di sekolah bukan bermakna kita harus memberhentikan penguatkuasaan tindakan-tindakan disiplin yang sedia ada berdasarkan Surat Pekeliling Ikhtisas dan panduan tatacara disiplin yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran. Perkara yang disarankan ialah penggunaan pelbagai pendekatan untuk menangani masalah salah laku disiplin di sekolah ini (James, 2005).

Pada pandangan saya, hukuman rotan ini bukanlah sesuatu yang membawa keburukan semata-mata. Terdapat baiknya sekiranya guru menjalankan hukuman rotan ini sebagai salah satu cara untuk mendisiplinkan pelajar serta menangani masalah salah laku mereka. Adakalanya, pendekatan seperti ini sangatlah sesuai untuk dipraktikkan sekiranya tidak melangkaui batas-batas yang telah ditetapkan. Perlu dilihat terlebih dahulu apa sebabnya guru ingin merotan seseorang pelajar itu. Jika benar pelajar tersebut melakukan kesalahan, maka hukuman rotan yang dikenakan juga perlulah setimpal dengan kesalahan pelajar tersebut.

Guru tidak boleh bersikap pilih kasih dalam melaksanakan hukuman ini. Terdapat segelintir guru yang merotan seseorang pelajar kerana tidak menyukai pelajar tersebut. Sekiranya seseorang pelajar dikenakan hukuman rotan ini, perlu dilihat terlebih dahulu individu yang merotan dan di mana ia dilakukan. Jika ia dilakukan oleh pengetua atau guru disiplin dan di tempat yang tertutup, maka tiada sebarang masalah. Namun, sekiranya ia dilakukan oleh seorang guru biasa dan di khalayak ramai, amat dikhuatiri guru tersebut berdendam dengan pelajar tersebut.

Emosi guru adakalanya tidak stabil dan ini akan menjadikan guru tertekan. Guru sentiasa dibebani dengan beban kerja terlampau serta ditambah pula dengan masalah yang ditimbulkan oleh pelajar-pelajar. Ini akan menyebabkan guru mengambil langkah drastik dan mengambil tindakan sedemikian rupa disebabkan oleh tekanan yang dialami. Tekanan boleh menyerang manusia tanpa mengira peringkat umur dan jantina.. Seseorang individu akan sering menhadapi tekanan akibat keadaan sekeliling. Doktor Kesihatan Mental dan Psikologi, Dr.Mohd.Jusof Mohd Ismail berkata, pelbagai tekanan yang dihadapi akan menyebabkan hati seseorang individu menjadi runsing dan keadaan ini akan menyebabkan individu berkenaan tidak dapat memberi tumpuan kepada tugasan harian. Oleh itu, guru seharusnya perlu bijak mengawal tekanan dengan baik bagi mengelakkan guru bertindak secara melulu serta bertindak mengikut emosi. Guru juga perlu mempraktikkan  amalan-amalan yang dapat membantunya bagi meredakan tekanan (Nurul Nadia, 2011).

Ancaman hukuman merupakan salah satu langkah yang telah dipilih untuk mengurangkan salah laku. Namun, ternyata sesetengah pihak tidak mengambil peduli tentang ancaman dan hukuman dan dengan beraninya mengambil risiko membuat salah laku. Terdapat juga pihak yang berusaha mengetatkan pengawasan dan kawalan. Tetapi masih ada manusia yang menunggu waktu yang sesuai untuk mengambil peluang melaksanakan salah laku. Justeru itu, langkah yang terbaik untuk mengurangkan salah laku ialah dengan membaiki bahagian dalaman seseorang individu iaitu mindanya, yang merangkumi perasaan dan jiwanya (Ibrahim, 2007).

Oleh yang demikian, saya berpendapat bahawa guru perlu mencuba pendekatan yang lain terlebih dahulu  sebelum melaksanakan hukuman rotan ini. Guru boleh mencuba untuk mempraktikkan amalam kepimpinan secara demokratik. Kepimpinan secara demokratik mengajar guru untuk cuba mendengar dan memahami perasaan pelajar itu sendiri. Dalam apa jua hal, guru akan memberikan teguran kepada murid dengan cara yang objektif atau nyata. Kesan kepimpinan secara demokratik adalah positif memandangkan suasana sosioemosi yang demokratik akan terbentuk dan ini mengeratkan hubungan antara guru dengan pelajar. Perhubungan yang erat akan membantu guru untuk lebih mengenali pelajar-pelajarnya. Ini akan                           membolehkan guru mengetahui latar belakang serta mencungkil masalah yang dihadapi oleh pelajar tersebut sekaligus mencari jalan penyelesaian bagi masalah mereka (Abdul Ghani, 2009).

Guru juga perlu mempraktikkan amalan seperti memuji pelajar sebelum member teguran kepada mereka. Contohnya, apabila guru cuba untuk memperbetulkan kesalahan pelajar, mulakan dengan kata-kata sanjungan terlebih dahulu dan bermanis muka. Dengan ini, pelajar akan berasa senang hati untuk mendengar nasihat daripada guru. Amalan memberi pujian ini boleh menaikkan semangat para pelajar bagi mereka mengelakkan diri dari melanggar peraturan-peraturan sekolah. Apabila pelajar mendengar pujian ikhlas daripada guru, maka mereka akan berasa senang hati. Jika pelajar sudah berubah walaupun sedikit, guru perlu terus memotivasikan pelajar supaya melakukan perubahan yang lebih besar ( Mohd Rashid, 2007).

Guru juga perlu mempunyai keyakinan yang tinggi apabila mengatakan tidak kepada sesuatu perbuatan negatif. Sebagai guru, keselamatan dan kesihatan pelajar pelu dipastikan selalu. Guru juga perlu membantu pelajar supaya mereka sentiasa menjadi insan yang berakhlak dan terpuji. Apabila guru membuat keputusan untuk membentuk peribadi mulia dalam diri pelajar, guru perlu tegas dan yakin dalam apa sahaj perbuatan yang dilakukannya seperti memberi nasihat, amaran ataupun denda. Guru sebaik-baiknya perlu memberi sebab dan alasan mengapa ingin menghalang seseorang pelajar daripada melakukan kesalahan.
  
Seorang guru itu juga perlulah menjadi guru yang bestari bagi membolehkan mereka bertindak sebagai agen perubahan bagi pelajar-pelajar secara berkesan.   Guru yang bestari ialah seorang guru yang bijak, berilmu pengetahuan, berkemahiran tinggi, penyayang, berketerampilan serta mampu menjadi contoh teladan yang baik untuk dicontohi oleh pelajar-pelajarnya. Selain daripada itu, guru bestari juga perlu memiliki sahsiah yang baik, serta mempunyai daya kreativiti dan inovasi yang hebat. Guru bestari berperanan mendidik pelajarnya dalam setiap aspek kehidupan iaitu akademik, sahsiah diri, rohani, jasmani, emosi dan intelek (Haji Zainal, 2008).

Guru yang tidak memiliki ciri-ciri bestari akan meninggalkan impak yang negatif kepada pelajar-pelajarnya. Pelajar pasti akan berasa tidak seronok dan gembira sepanjang proses P&P guru. Guru-guru dalam kategori tidak bestari ini lazimnya bersifat garang serta tidak mesra. Mereka juga tidak gemar bergurau dan tidak murah dengan senyuman juga pujian. Sikap guru seperti ini akan menyebabkan pelajar semakin jauh dari mereka dan hubungan juga menjadi dingin dan renggang. Ini menyukarkan guru untuk mengenali pelajar bagi mengenal pasti masalah yang telah dihadapi oleh pelajar tersebut. Hal ini akan menyebabkan pelajar menjadi benci kepada guru dan lambat laun akan membawa kepada perasaan anti sekolah dan akhirnya akan terjadilah masalah-masalah seperti ponteng sekolah yang akan menjerumuskan pelajar ke dalam kancah gejala tidak bermoral ( Haji Zainal, 2008).

Menurut Pensyarah Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia, Fakulti Sains Sosial dan Kemasyarakatan, Wan Azreena Wan Jaafar berkata bahawa hukuman rotan merupakan tindakan terakhir yang boleh diambil sekiranya langkah-langkah sebelumnya tidak berkesan. Sekiranya pendekatan yang digunakan seperti yang dibincangkan sebelum ini tidak berjaya, maka guru disarankan untuk menggunakan hukuman rotan ini. Hukuman yang dilaksanakan itu pula perlulah setimpal dan relevan dengan kesalahan yang dilakukan oleh pelajar.

Mengekang tingkah laku negatif tidak bermakna guru melakukan kekejaman ke atas pelajar sekiranya guru bertindak adil dalam setiap hukuman yang dikenakan ke atas pelajar. Apabila hukuman dikenakan kepada pelajar, pelajar pastinya akan berasa sedih. Tetapi ini tidak bermakna bahawa guru perlu berasa bersalah atas tindakan yang diambil. Jika guru berasa bersalah, ini tidak akan membantu pelajar untuk membentuk disiplin yang tinggi dalam diri sebaliknya  akan membuatkan mereka lebih cenderung untuk melakukan perkara-perkara negatif kerana mereka berfikiran bahawa guru tidak akan marah serta bertegas dengan mereka.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa guru pastinya akan berasa simpati kepada pelajar, namun walau apa jua alasannya, guru harus bertindak tegas. Guru boleh cuba menerangkan kepada pelajar dengan cara paling lembut serta berhemah tentang sebab guru menjatuhkan hukuman seperti itu ke atas mereka. Sekiranya guru tidak mengekang masalah salah laku disiplin , pelajar pastinya akan bersikap kurang ajar dengan guru dan tidak menghormati guru lagi. Keruntuhan moral serta akhlak mereka juga akan semakin menjadi-jadi dan fenomena ini juga akan semakin menular dalam kalangan masyarakat serta berleluasa. Inilah cara terbaik yang boleh dipraktikkan oleh guru andai kata nasihat dan bimbingan yang diamalkan tidak mendatangkan kesan seperti yang diharapkan.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Mohd Fuad Zarkashi berkata, pengenalan semula hukuman rotan yang telah dihentikan pada tahun 2006 itu wajar diperkenalkan semula berdasarkan keperluan semasa memandangkan masalah disiplin dalam kalangan pelajar semakin meruncing. Selain itu, beliau turut mengatakan bahawa hukuman rotan ini boleh dilaksanakan sebagai tindakan yang akhir sekali selepas pendekatan yang digunakan oleh guru dan usaha kaunselor menemui kegagalan. Walau bagaimanapun, hukuman rotan tersebeut perlulah dilaksanakan mengikut panduan yang disediakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.

            Pertamanya, hanya pengetua atau guru besar dan guru disiplin sahaja yang boleh melaksanakan hukuman rotan tersebut. Tetapi, guru biasa juga boleh menjalankan hukuman ini sekiranya diberi kuasa untuk mewakilkan pihak yang sepatutnya. Selain itu, hukuman juga perlu dijalankan di tempat yang tertutup seperti bilik dan disaksikan oleh seorang guru lain. Kawasan yang boleh dirotan pula haruslah kawasan yang tidak akan mendatangkan kemudaratan, iaitu di telapak tangan dan juga di bahagian punggung secara berlapik. Setelah hukuman rotan dilaksanakan, guru perlu menyediakan satu rekod secara sulit. Rekod tersebut perlu mengandungi jenis salah laku pelajar, bilangan sebatan, bahagian anggota yang dirotan, nama dan tandatangan guru yang merotan serta yang menjadi saksi ketika hukuman tersebut dilaksanakan.

Secara keseluruhannya, saya sebenarnya tidak menentang hasrat untuk memperkenalkan hukuman rotan semula di sekolah-sekolah. Hal ini kerana, bagi saya ia mempunyai pro dan kontranya yang tersendiri. Namun, bagi saya ia lebih banyak mendatangkan manfaat berbanding keburukan. Hukuman rotan ini dipercayai dapat mendisiplinkan pelajar serta mengawal tingkah laku mereka. Namun, guru harus cuba untuk menggunakan cara yang paling halus terlebih dahulu bagi membentuk serta mengubah tingkah laku pelajar dan sekiranya tidak berjaya, barulah beralih kepada tindakan yang lebih tegas dan keras seperti hukuman rotan.


5.0 KESIMPULAN

Berdasarkan perbincangan serta ulasan di atas, dapat disimpulkan bahawa tidak ada salahnya sekiranya hukuman rotan ini diperkenalkan semula di sekolah-sekolah selepas dihentikan pada tahun 2006 yang lalu. Hal ini kerana, memandangkan ia bertujuan untuk mendisiplinkan pelajar dan bukannya untuk mendera dan menyusahkan mereka. Kita tidak mahu pelajar-pelajar terus hanyut dalam dunia fantasi mereka yang dianggap indah sentiasa. Ini akan mengakibatkan kesan yang buruk terhadap diri mereka. Contohnya, mereka akan terdorong untuk melibatkan diri dengan gejala-gejala yang tidak bermoral seperti pergaulan bebas, seks bebas, pembuangan bayi dan lain-lain lagi.

“….saya mahu setiap rakyat Malaysia mempunyai modal insan personaliti yang tinggi hemahnya., tinggi budinya, tinggi pengajiannya, tinggi kejayaannya dalam apa jua bidang yang diceburi, hatta menjadi seorang yang gemilang. Ini kerana, anak kunci kecemerlangan ialah disiplin dan jati diri seseorang individu. Ini akan mendorong kecemerlangan diri, keluarga, masyarakat dan negara”.
                                                                      Sumber: Ucapan Mantan Perdana Menteri,       
                                            Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi,Utusan Malaysia, 2005)

            Begitulah tingginya hasrat dan harapan mantan Perdana Menteri kita ini. Namun, hasrat mantan Perdana Menteri ini amat bertentangan dengan senario masyarakat pada masa kini. Betapa remaja kini berada dalam situasi serta bergelumang dengan gejala-gejala negatif yang membawa kepada keruntuhan akhlak yang boleh melemahkan  serta menjatuhkan bangsa dan negara. Semua ini berpunca daripada kelemahan sistem penguatkuasaan disiplin pelajar di sekolah yang membuatkan pelajar semakin berjinak-jinak dengan kegiatan yang tidak bermoral. Oleh yang demikian, sudah sampai masanya guru, pentadbir sekolah serta ibu bapa sama-sama mengembleng tenaga bagi menangani permasalahan yang kian membarah ini.


REFLEKSI

Tugasan projek bagi mata pelajaran Asas Kepimpinan dan Perkembangan Profesionalisme Guru memerlukan kami untuk memilih mengulas satu artikel yang dipilih daripada mana-mana laman web rasmi yang berkaitan isu guru atau keguruan dan seterusnya kami diminta untuk membina satu blog dan memaut hasil penulisan kami itu ke blog yang telah dibina. Artikel yang saya pilih ini adalah berkaitan dengan isu hukuman rotan yang ingin diperkenalkan semula di sekolah. Saya memilih isu ini kerana kerana pelaksanaan hukuman rotan ini merupakan salah satu daripada isu kemasyarakatan dan seringkali mendapat perhatian orang ramai serta mendapat pendedahan meluas di media-media massa. Blog yang dibina oleh saya bersama rakan iaitu Dunia Pendidikan Guru, yang boleh didapati menerusi laman sesawang www.ceriteraguruipg.blogspot.com, mengupas sedikit sebanyak berkenaan dengan isu-isu keguruan yang kian hangat dibincangkan. Dalam kelancaran menyelesaikan tugasan projek ini, terdapat beberapa masalah yang dihadapi. Misalnya, kesukaran untuk mencari bahan rujukan daripada pelbagai sumber berkenaan dengan isu yang dipilih. Buku-buku di Pusat Sumber agak terhad, namun saya tidak putus asa. Saya turut mencari menerusi sumber-sumber yang lain seperti akhbar, jurnal dan juga internet. Alhamdulillah, hasilnya agak memuaskan. Terdapat banyak perkara yang telah dapat saya pelajari sepanjang menyiapkan tugasan ini. Pertamanya, saya mengetahui bagaimana seorang guru itu harus berperanan di bilik darjah supaya pelajar-pelajar tidak berasa bosan dan tertekan sepanjang proses P&P. Guru juga seharusnya membina hubungan yang erat dan mesra dengan pelajar-pelajarnya supaya pelajar sentiasa senang dan selesa di samping turut menyanjungi gurunya. Hubungan yang positif antara guru dan pelajar akan mengelakkan daripada tercetusnya masalah salah laku disiplin dalam kalangan pelajar. Selain itu, guru juga perlu tahu cara bagi membendung masalah disiplin yang semakin berleluasa di sekolah dengan cara yang peling berhemah terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan terakhir iaitu merotan pelajar. Dengan ilmu baru yang saya peroleh ini, secara tidak langsung dapatlah saya praktikkan serta mengaplikasikannya apabila mula bertugas sebagai seorang guru kelak. Menerusi tugasan yang dijalankan ini, saya juga berpeluang mempelajari kaedah-kaedah atau pendekatan yang boleh guru gunakan bagi mengatasi salah laku dalam kalangan pelajar. Ini secara tidak langsung dapat melatih saya berfikir secara kritis dan lebih kreatif. Ia juga dapat meningkatkan kefahaman saya berkenaan isu-isu yang merangkumi ruang lingkup kerjaya seorang guru. Selain itu, terdapat perkara-perkara lain juga yang telah dapat saya pelajari yang berkaitan dengan kehidupan seharian saya. Misalnya, sebagai seorang pelajar kita perlu bijak membahagikan masa. Contohnya, walau sesibuk mana pun kita, seharusnya sebagai seorang pelajar kita tidak seharusnya lupa dengan amanah yang diberikan oleh pensyarah untuk kita menyiapkan tugasan masing-masing. Kekangan masa bukanlah alasan untuk kita tidak menyiapkan tugasan sebaliknya kita sendiri harus bijak mencari masa bagi membolehkan tugasan itu diselesaikan tepat pada masanya. Bukan sahaja semasa kita bergelar seorang pelajar, malahan juga apabila kita telah bekerja dan menjadi seorang guru kelak, kita seharusnya bijak menguruskan masa supaya tidak terbeban dengan tugasan yang begitu banyak dan menjadi tertekan. Selain itu, kita juga dinasihatkan supaya bersabar dengan apa jua dugaan atau cabaran yang menghampiri kita. Kerana semua itu akhirnya akan membuahkan hasil kepada diri sendiri secara tidak langsung. Kita perlu sentiasa memperbaiki kelemahan diri dan melakukan penambahbaikan supaya sebarang kejayaan yang diperoleh itu sentiasa berkekalan dan tidak hilang begitu sahaja serta bagi memastikan kita tidak akan jatuh. Apabila bergelar seorang guru kelak, guru tidak boleh cepat berpuas hati dengan segala tugas atau kerja yang dilakukan. Guru perlu mempunyai sikap ingin mencuba sesuatu yang baru dan sentiasa ingin meningkatkan mutu serta kualiti kerja serta sentiasa menambahkan ilmu pengetahuan seiring dengan perkembangan semasa. Di samping itu, saya telah mempelajari nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian kerana ini secara tidak langsung akan menjadi garis panduan dalam hidup kita seharian. Contohnya, dalam menyiapkan tugasan projek ini saya sendiri telah banyak bekerjasama dengan rakan-rakan yang lain serta tolong-menolong antara satu sama lain dalam urusan berkongsi idea serta pendapat tentang isu yang dibincangkan. Maka, secara tidak langsung nilai-nilai murni telah berjaya diterapkan di situ tanpa disedari. Secara keseluruhannya, perkara-perkara yang telah saya pelajari ini akan menjadi pengalaman yang bermakna dan dapat membantu saya mempersiapkan diri dengan apa juga cabaran dan rintangan pada masa akan datang, dalam menempuhi arus profesionalisme keguruan.


Bibliografi

(a)  Buku

Abdul Ghani Abdullah.(2009). Mengurus Tingkah Laku Pelajar. Kuala Lumpur:                                                
      Percetakan Zafar Sdn.Bhd.

James Ang Jit Eng.(2011). Pengurusan Disiplin Murid. Selangor:
       C.T Book Makers Sdn.Bhd.

Lily Mastura Harun & Ramlan Hamzah.(2007). Asas Kaunseling Keluarga. Shah Alam:
       Pusat Penerbitan Universiti (UPENA).

Mohd Rashid Mohd Saad.(2007). Mengapa Rotan Tidak Berkesan?. Kuala Lumpur:
       PTS PROFESSIONAL Publishing Sdn.Bhd.

Mo Mee Ching (2001). Masalah Disiplin Pelajar. Bangi:
      Universiti Kebangsaan Malaysia.

Noran Fauziah Yaakub & Ahmad Mahdzan Ayob.(1992). Guru dan Perguruan.
       Kuala Lumpur: Syarikat Is Sdn.Bhd.

Shanmugam a/l Pachaippan. (1997). Punca-punca masalah disiplin di sekolah. Bangi:
        Universiti Kebangsaan Malaysia.

Haji Zainal Haji Bujang.(2008). Guru Bestari Pelajar Jauhari. Kuala Lumpur:
        Al-Hidayah Publications Sdn.Bhd.


(b)  Jurnal
Haji Ibrahim.(2007). Jurnal Pengurusan dan Kepemimpinan Pendidikan.
     Salah Laku Pelajar-Perspektif Islam dan Sosiologi, : 42-45.

James Ang Jit Eng.(2005). Jurnal Pengurusan dan Kepimpinan. Pengurusan Disiplin
        Sekolah: Pendekatan Alternatif Menangani Gejala Disiplin Di Sekolah, 15 (1) :1-9.

Md. Zuki Hashim.(2007). Jurnal Penyelidikan IPSAH. Kajian Kes Gejala Ponteng,
       11 : 101-103.


(c)  Artikel dalam Akhbar

Khairul Anuar. (2010, Julai 4). Masalah Sosial Generasi Muda Petanda Krisis Moral
      Cukup Berbahaya. Berita Harian, pp. 7-8, 15.

Nurul Nadia Mohd Kamaruzaman. (2011, Jun 26). Tekanan Antara Punca                          
        Masalah Kesihatan. Berita Harian, pp. 1-2.


(d)  Laman Web

Adi Mohamad.(2007). Hukuman Rotan Wajarkah Dilaksanakan?.
       www.pkgkita.blogspot.com. Accessed on 3st August 2012.

Haji Ayub Mohamed.(2011). Isu Ponteng Sekolah Dalam Kalangan Pelajar.
      www.mapimkebangsaan.blogspot.com. Accessed on 1st August 2012.

Lokman Mohd Hashim.(2009). Masalah Sosial Dalam Kalangan Remaja.
       www.mutiaraislam.wordpress.com. Accessed on 14th July 2012.

Mazlan.(2009). Gejala Sosial Dalam Kalangan Remaja Hari Ini.
       www.mazlan66.wordpress.com. Accessed on 28th July 2012.

Norliza Abdullah.(2011). Laksana Semula Hukuman Rotan Di Sekolah.
      www.detikdaily.com. Accessed on 15th August 2012.

Nurul Syuhadah Ahmad.(2011). Hukuman Rotan, Pro dan Kontra.
      www.smkbt.com.my. Accessed on 17th August 2012.

Suliati Asri.(2009). Isu Hukuman Rotan Di Sekolah.
      www.hmetro.com. Accessed on 17th August 2012.

Yayasan Guru Malaysia Berhad.(2012). Patut Atau Tidak Pelajar Sekolah Dirotan.
       www.utusan.com.my. Accessed on 1th July 2012.